Pada pagi 1 Syawal, rata-rata umat Islam berpusu-pusu ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat sunat raya Aidilfitri.
Tetapi, sebelum itu, ramai daripada anda tidak mengetahui dengan jelas hukum dan cara sebetul-betulnya dalam menunaikan solat sunat raya.
Oleh yang demikian, kali ini kami akan berkongsi tentang panduan lengkap solat sunat hari raya Aidilfitri dari segi hukum, waktu dan kaifiat menunaikannya.
Apa Hukum Solat Sunat Raya Aidilfitri?
Sejak solat sunat hari raya Aidilfitri disyariatkan, Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya sepanjang hayatnya.
Perkara ini diteruskan oleh para sahabat dan diwarisi oleh umat Islam pada hari ini.
Namun begitu, solat sunat hari raya ini tidak wajib kerana terdapat sebuah mafhum hadis yang menyebutkan hanya terdapat 5 solat wajib.
Bahkan, menurut laman web Mufti Wilayah Persekutuan hukum solat sunat ini adalah sunat muakkad (sunat yang dituntut).
Berdasarkan hadis daripada Abi Sa’id al-Khudri, solat sunat hari raya Aidilfitri disyariatkan kepada semua muslim mukallaf tanpa mengira jantina, musafir atau bermukim, hamba atau seorang yang merdeka.
Imam Nawawi berkata “Pendapat mazhab seperti yang dinaskan di dalam kitab-kitab yang baharu kesemuanya menyatakan bahawa solat hari raya disyariatkan bagi seorang individu di rumahnya atau di tempat selainnya”.
Ini bermaksud, dibolehkan bagi seseorang itu menunaikan solat sunat hari raya secara seorang diri. Selain itu, solat ini juga boleh ditunaikan di tempat selain masjid.
Waktu Solat Sunat Raya Aidilfitri
Ibadah ini hanya dilakukan pada 1 Syawal di antara waktu terbit matahari sehingga sebelum matahari tergelincir. Di Malaysia, ianya dikerjakan sekitar jam 8.00 pagi hingga 9.00 pagi.
Berbeza dengan solat sunat raya Aidiladha yang harus disegerakan, solat sunat hari raya Aidilfitri harus dilambatkan untuk memberi ruang kepada muslim membayar zakat fitrah dan menjamah sedikit makanan pada pagi 1 Syawal.
Cara Solat Sunat Raya Aidilfitri
Seperti yang telah diterangkan di atas, solat sunat raya Aidilfitri hukumnya sunat yang dituntut, ianya dikerjakan sebanyak dua rakaat, segala rukun dan syarat serta sunatnya sama seperti solat fardhu.
Tetapi, terdapat tambahan perkara sunat yang ditambah iaitu takbir sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama dan takbir sebanyak lima kali pada rakaat kedua.
Setiap takbir itu diselangi dengan tasbih.
Berikut adalah panduan secara terperinci kaifiat solat sunat raya Aidilfitri:-
- Rakaat Pertama
- Dimulai dengan niat dan takbiratul ihram. Lafaz niat adalah seperti berikut:
أُصَلِّي سُنَّةَ لِعِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَ
Usalli sunnatan liAidil Fitri rak’ataini makmuman lillahi ta’ala.
Ertinya:
Sahaja aku sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala.
- Membaca doa iftitah
- Lafaz takbir sebanyak 7 kali diselangi setiap takbir dengan lafaz tasbih
سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُُ وَاللهُ أَكْبَر وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُـوَّةَ إِلاَّ بِالله
Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah Wallahu Akbar wala haula wala quwwata illa billah
- Membaca surah Al-Fatihah
- Membaca surah Al-Quran, sunat untuk membaca surah Al-a’la
Meneruskan solat seperti biasa sehingga selesai rakaat pertama
- Rakaat kedua
- Dimulakan dengan takbir intiqalat iaitu takbir bangun daripada sujud rakaat pertama
- Lafaz takbir sebanyak 5 kali diselangi setiap takbir dengan lafaz tasbih
- Membaca surah Al-Fatihah
- Membaca apa-apa surah dari Al-Quran, sunat untuk membaca surah Al-Ghashiyah
Meneruskan solat sehingga selesai solat.
Khutbah Raya Aidilfitri
Dalil pensyariatan khutbah raya adalah:-
Diriwayatkan dari Abu Sa’id al-Khudri RA yang menceritakan;
كَانَ النَّبِيُّ صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إلَى الْمُصَلَّى، وَأَوَّلُ شَيْء يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاةَ، ثُمّ يَنْصَرِفُ فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ ـ وَالنَّاسُ عَلَى صُفُوفِهِمْ ـ فَيَعِظُهُمْ وَيَأْمُرُهُمْ
“Adalah Nabi SAW keluar pada hari raya fitrah dan hari raya korban menuju ke tempat solat. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah menunaikan solat. Kemudian baginda akan berdiri menghadap orang ramai yang masih berada dalam saf-saf mereka lalu ia memberi peringatan dan arahan kepada mereka” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Berbeza dengan khutbah jumaat yang dilakukan sebelum solat, khutbah raya dilakukan selepas solat sunat raya.
Sekiranya pihak masjid atau surau tersilap melakukan khutbah raya sebelum solat sunat hari raya, maka ia perlu diulang semula selepas solat.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Abdullah bin Umar RA yang menceritakan;
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم وأبو بكر وعمر رضي الله عنهما، يصلون العيدين قبل الخطبة
“Adalah Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Umar RA menunaikan solat sunat dua hari raya sebelum khutbah.”
Kesimpulannya, solat sunat raya Aidilfitri merupakan satu sunat yang dituntut berdasarkan dalil yang jelas, ia mempunyai kaifiat dan perkara perkara sunat tambahan yang membezakannya daripada solat sunat yang lain.
Seharusnya umat Islam mengambil peluang untuk mengerjakan amalan sunat yang datang setahun sekali ini.
Antara perkara yang sangat dituntut oleh Islam juga adalah mempelajari ilmu Al-Quran.
Kami di Nifa Quran Care Academy menyediakan khidmat mengajar mengaji Al-Quran dengan teknik yang terbukti berkesan melalui kajian yang teliti dan pendekatan yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat khususnya anak kecil.
Ayuh kita contohi para sahabat Rasulullah SAW yang sentiasa bersegera melakukan amal kebaikan dengan mendaftarkan anak-anak anda belajar dengan kami!
Anda boleh klik pautan di bawah atau WhatsApp kami.