fbpx

Dalam keseronokan beraya, sedar tak sedar, banyak perkara haram di hari raya yang kita lakukan.

Dalam pergaulan dengan sanak saudara, kita perlu berpada-pada dalam setiap perlakuan sesama sanak saudara.

Bulan Syawal merupakan bulan suci selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan, tidak sepatutnya hari perayaan dicampurkan dengan perkara yang ditegah oleh Allah SWT. 

Terdapat beberapa perkara haram di hari raya yang sering dipandang remeh oleh masyarakat yang akan dihuraikan dalam artikel kali ini. Teruskan membaca.

5 Perkara Haram Semasa AidilFitri

hari raya
  1. Pergaulan dan sentuhan tanpa batas adalah perkara haram

Menjadi sebuah kebiasaan dalam masyarakat kita untuk berjabat tangan apabila berada dalam sebuah pertemuan.

Ia merupakan sesuatu yang sangat baik dan merupakan sebuah simbol mesra dan tanda hormat antara satu sama lain. 

Namun begitu, sentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah dilarang sama sekali. 

Amat digalakkan untuk mengkaji semula kedudukan bukan mahram dalam keluarga agar kita tidak melakukan sesuatu yang tidak diredhai Allah pada hari raya Aidilfitri.

Selain itu, menitipkan doa dan kata-kata yang sopan sangat digalakkan oleh agama. 

Dalam masa yang sama kita perlu berwaspada daripada menuturkan kata keji atau sesuatu yang mungkin melukakan hati seseorang.

  1. Mendedahkan aurat dengan sengaja

Islam sangat menggalakkan umatnya berpakaian cantik serta kemas terutamanya pada hari raya, bahkan ia merupakan sebahagian daripada sunnah Rasulullah SAW. 

Tatacara berpakaian dalam Islam menitik beratkan soal aurat dan kesopanan. Perlulah ada usaha untuk memastikan aurat sentiasa ditutup dengan sempurna agar tidak terdedah.

Perkara ini selalu dipandang ringan semasa waktu tidur.  Sesetengah daripada kita memandang ringan dengan soal tidur bercampur lelaki dan perempuan.

Walaupun anda memikirkan mereka hanya sepupu dan anak saudara serta saudara lelaki yang anda kenali sejak kecil, tetapi sesuai dengan usia perlunya diasingkan tempat tidur.

Sesungguhnya menjaga kehormatan diri merupakan tuntutan agama dan dapat mengelakkan daripada perkara yang tidak diingini berlaku.

  1. Pembaziran yang melampau

Persediaan menyambut hari perayaan seringkali menelan perbelanjaan yang besar saban tahun. 

Peningkatan kos berbelanja bukan sahaja dari segi harga bahan mentah akan tetapi melibatkan kos pakaian, perhiasan rumah dan lain-lain. 

Perkara ini bertambah parah lagi dengan trend viral yang menjadi ikutan masyarakat setempat. Masing-masing ingin bersaing siapa yang lebih hebat tanpa menghiraukan kemampuan sendiri. 

Akhirnya akaun bank yang merana sehinggakan ada yang membuat pinjaman peribadi. 

Beringatlah bahawa Allah SWT menyebutkan di dalam Al-Quran bahawa perbuatan membazir itu merupakan amalan syaitan, lantas perlu ditinggalkan. 

Perkara ini dapat ditangani dengan membuat rancangan kewangan khas hari raya dengan mengukur baju di badan sendiri agar kita tidak terjerat di kemudian hari.

  1. Mengulang dosa lama

Ramadan adalah umpama sebuah madrasah dan bulan permulaan untuk kita istiqamah melakukan kebaikan dan meninggalkan perkara keji dan mungkar. 

Ramai di antara kita meninggalkan perkara yang mendatangkan dosa hanya untuk seketika. Namun, selepas sahaja berlalunya bulan Ramadhan, kita kembali mengulanginya.

Sepatutnya selepas bulan Ramadan, kita digalakkan untuk terus istiqomah meninggalkan dosa lama tetapi segelintir masih melakukannya. 

Hal ini tidak sepatutnya berlaku. Ketaatan dan amal soleh serta usaha menjauhkan diri daripada perkara haram perlu diteruskan pada bulan-bulan seterusnya agar ia sebati dalam diri dan simbol pengabdian diri kepada Allah SWT.

  1. Meninggalkan Solat Fardu dengan sengaja

Solat Fardu merupakan amalan yang paling utama perlu dijaga oleh umat Islam, peristiwa Israk & Mikraj menunjukkan betapa signifikannya rukun Islam kedua ini. 

Malang sekali dalam kesibukan melayan tetamu atau menikmati juadah, ada antara kita yang sewenangnya meninggalkan ibadah yang paling penting ini.

Oleh itu, perlulah mendisiplinkan diri untuk mengutamakan solat fardu meskipun dalam keadaan yang sangat sibuk agar beroleh keberkatan dalam kehidupan seharian.

Perkara-Perkara Sunat di Aidilfitri

perkara haram di hari raya

Untuk menambahkan keberkatan dan menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT pada hari raya, seorang muslim perlulah menghiasi hari tersebut dengan amalan sunat yang disarankan oleh Rasulullah SAW. Antaranya:- 

  1. Memperbanyakkan takbir

Takbir semasa Hari Raya Aidilfitri bermula selepas masuknya waktu Maghrib hari terakhir Ramadan sehingga selesai solat sunat Aidilfitri.

Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar RA keluar di hari raya Aidilfitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

  1. Mandi sunat hari raya 

“Daripada Nafi’ bahawa Abdullah bin Umar RA mandi pada Hari Raya Aidilfitri sebelum pergi ke tempat solat.”– (Muwatta’ Malik, hadis sahih)

Waktu diharuskan untuk mandi sunat hari raya bermula dari tengah malam, tetapi waktu yang disunatkan adalah selepas terbit fajar hingga terbenamnya matahari. 

  1. Makan sebelum ke masjid

Sunat untuk kita menjamah sedikit makanan sebelum bergerak ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. 

Sesetengah Ulama berpendapat bahawa ini sebagai peringatan bermulanya bulan Syawal.

  1. Memakai pakaian yang terbaik

“Rasulullah SAW menyuruh kami agar memakai pakaian terbaik dan wangian terbaik yang kami miliki pada dua hari raya”
(Hadis Riwayat Al-Hakim)

Pakaian terbaik tidak semestinya sebuah pakaian baru akan tetapi ia merupakan yang paling elok dan baik rupanya.

  1. Menunaikan solat sunat Aidilfitri

Ibnu Abbas RA berkata:

“Rasulullah SAW telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat sunat dua rakaat. Baginda tidak mengerjakan sebarang solat sebelum dan sesudahnya.”

(Riwayat Bukhari)

Kesimpulannya, dalam keseronokan merayakan hari kemenangan ini, perlu diberi perhatian juga terhadap perkara haram di hari raya. 

Larangan agama tidak wajar dipandang remeh kerana ia bakal menjerumuskan kita dalam kekufuran nikmat yang tiada penghujungnya.

Antara perkara yang dapat menyelamatkan kita di akhirat kelak adalah kalam suci Allah SWT iaitu Al-Quran. 

Kami di Nifa Quran Care Academy menyediakan perkhidmatan mengajar mengaji al-Quran dengan teknik yang terbukti berkesan melalui kajian yang teliti dan pendekatan yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat khususnya anak kecil. 

Ayuh kita contohi para sahabat Rasulullah SAW yang sentiasa bersegera melakukan amal kebaikan dengan mendaftarkan anak-anak anda belajar dengan kami!

Anda boleh klik pautan di bawah atau WhatsApp kami

Saya nak belajar mengaji dengan Nifa Quran

Welcome